Saturday, 29 November 2008

DI pagi yang hening ini..

Tidurku terganggu lagi pagi ini kerana ngiauan sang kucing yang tak kenal erti rehat dimalam hari dan yang tak pernah kenal erti menghabiskan rezeki di pinggan. Buat kesekian kalinya, kucing itu meninggalkan sisa makanan yang sudah terhidang di dalam pinggan barangkali dengan niat untuk berkongsi rezeki dengan sang semut-semut hitam yang berlegar-legar laksana burung-apakah-itu di padang pasir menunggu akan tumbangnya sekujur tubuh yang kehausan.

Bangkitku lagi hari ini dengan membuka pintu bilikku setelah sang kucing itu bergolek-golek di atas katilku memohon simpati dan perhatian akan perutnya yang lapar itu dan seperti selalunya akan menghilangkan diri setelah nafsunya disuapi. Rezekiku agaknya sepupuku tiba malam semalam ketika bulan masih gah di langit menunggu akan kepulangan kami sekeluarga daripada kedai makan malam.

"Jalan kena buka mata," nasihat sepupuku melihat akan kezombianku menuruti pergerakan sang kucing itu.

Al-Fatihah buat abangnya KR dan juga Raja Perempuan Besar Perlis, Tengku Budriah Tengku Ismail.

Muncul pula sang kucing itu kembali di dalam bilikku setelah ia meniti bumbung dan masuk melalui tingkap.

Mengantukku masih lagi belum terubat. Tidurkah atau kerjakah?